CILI merah atau Capsicum annum adalah tanaman jangka masa singkat
yang bernilai tinggi. Penanaman cili merah di negara ini dijalankan
menggunakan kaedah konvensional dan sistem fertigasi.
Bagaimanapun, rata-rata petani menggunakan sistem fertigasi berikutan
penanaman cili merah menggunakan teknologi ini terbukti dapat
meningkatkan hasil dan mempunyai daya maju yang tinggi.
Kos atau modal permulaan tinggi akan diimbangi hasil pengeluaran yang
tinggi. Ia juga terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan
hasil tanaman cili merah sehingga tiga hingga empat kali ganda
berbanding kaedah konvensional.
Teknologi ini juga lebih mesra alam berbanding kaedah konvensional
dan mengikut amalan pembangunan pertanian lestari, di samping mematuhi
agenda pertanian negara.
Fertigasi berasal dari dua perkataan Inggeris iaitu 'fertilization'
dan 'irrigation.' Sistem ini juga satu daripada cabang hidroponik yang
antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran
Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan
Pemercik Mikro.
Selain cili, sistem fertigasi juga sangat sesuai bagi tanaman sayur
berbuah dan berdaun seperti tomato, timun Jepun, cili merah, terung,
melon, cili sayur, strawberi serta pokok hiasan. Ia juga sangat sesuai
untuk tanaman yang bernilai tinggi di pasaran.
Tanaman sistem fertigasi bertujuan mengelak serangan penyakit akar
disebabkan serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan
penyakit layu bakteria yang berpunca daripada tanah.
Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak.
Sistem fertigasi juga satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan
penyakit bawaan tanah (soil borne disease) seperti pitium, di samping
meningkatkan hasil tanaman. Penyakit bawaan tanah seperti pitium dan
fusarium mengurangkan dan merosakkan hasil tanaman.
Pemilihan dan penyediaan tapak projek fertigasi adalah langkah
kritikal dalam menentukan kejayaan projek penanaman cili fertigasi.
Penanaman cili fertigasi secara terbuka tanpa menggunakan struktur
pelindung hujan ialah kaedah alternatif kepada pengusaha yang ingin
menggunakan teknologi fertigasi, tetapi mempunyai modal atau peruntukan
yang terhad.
Tapak projek yang dipilih hendaklah mempunyai sumber air bersih
seperti air kolam, tasik, sungai, mata air, air bawah tanah (tube well)
atau sumber lain.
Kualiti air seperti tahap keasidan (pH) perlulah diperiksa terlebih
dahulu bagi memastikan air itu boleh digunakan. Nilai pH yang sesuai
untuk tanaman cili antara 5.5 hingga 6.5. Nilai pH dapat ditentukan
dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus.
Penggunaan air paip sangat sesuai dengan mengambil kira penambahan
kepada kos utiliti. Tapak projek perlu diratakan supaya aliran air baja
yang diberikan kepada pokok adalah sama.
Pemberian kuantiti air baja yang sama kepada setiap pokok adalah
penting supaya pokok cili dapat mencapai pembesaran seragam. Selepas
selesai kerja menyiapkan tapak, tikar 'silvershine' atau 'weed
suppresor' dibentangkan bagi mengelakkan tapak projek daripada ditumbuhi
rumpai.
Bagi penanaman cili, dua jenis polibeg iaitu bantal dan tegak
digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz kira-kira 50 sentimeter (sm)
untuk polibeg bantal dan 40cm untuk polibeg tegak adalah disyorkan.
Penggunaan polibeg hitam lebih tahan lasak dan lama berbanding
polibeg putih. Sistem fertigasi bagi penanaman cili mempunyai peralatan
lengkap seperti tangki air baja dengan muatan 900 gelen, pam air,
pengatur masa, penapis, injap dan paip poli yang terbahagi kepada paip
utama, paip sekunder dan paip lateral serta mikro tiub berfungsi membawa
larutan nutrien ke setiap beg tanaman.
Jarak antara baris yang disyorkan ialah 13sm, manakala jarak antara
polibeg ialah empat sm serta disusun sebaris bagi memudahkan kerja
pengurusan tanaman. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum anak pokok
cili dipindahkan ke dalam polibeg. Sistem pengairan juga boleh
diautomasikan dengan pemasangan pengatur masa.
Varieti cili hibrid disarankan bagi penanaman secara fertigasi
seperti Kulai dan Cili Bangi, manakala bagi cili padi yan berpotensi
pula seperti Cili Bara, Centil dan Full Sky. Bagaimanapun, pemilihan
varieti bergantung kepada kehendak dan permintaan pengguna bagi
memudahkan aktiviti pemasaran.
artikel asal : https://www.hmetro.com.my/xpresi/2020/01/534380/tanam-cili-merah-kaedah-fertigasi
oleh Zaitie Satibi - zaisa@hmetro.com.my